Bauksit merupakan antara salah satu elemen bahan
mentah yang sangat penting untuk menghasilkan aluminum. Selepas besi, aluminium
merupakan unsur bumi kedua terbesar yang dilombong di dunia dan negara terbesar
yang mengeluarkan bauksit adalah Australia. Dengan anggaran sebanyak RM 336
bilion hasil yang boleh diperoleh dari nadir bumi di Malaysia, pastinya kerajaan
akan mengambil peluang ini untuk kembali menjadi jaguh dalam perlombongan. Sudah
pasti pendapatan negara akan meningkat tetapi apa masalahnya dengan lombong
bauksit ini? Jika dahulu antara pusat pengeluaran bauksit yang utama di
Malaysia adalah di kawasan Pengerang, Johor. Kini Bukit Goh, Kuantan serta
kawasan sekitar pula menjadi antara pengeluar bauksit yang berskala besar. Salah
satu kesan kepada Malaysia khususnya Kuantan akibat daripada perlombongan
bauksit ini adalah penggondolan hutan. Ini kerana hutan yang ada terpaksa
dimusnahkan untuk memberi laluan kepada aktiviti perlombongan.
Perlombongan bauksit ini telah mengundang pelbagai
masalah di sekitar Kuantan. Kegiatan perlombongan bauksit yang tidak terkawal
telah mengganggu rutin harian penduduk setempat kerana urusan logistik menggunakan
laluan penduduk untuk ke bandar Kuantan. Urusan membawa keluar bauksit telah
menyebabkan jalan utama kotor, membahayakan kepada orang ramai dan telah banyak
kali mengakibatkan kemalangan malah terdapat juga kemalangan maut. Penduduk di
kawasan sekitar pelabuhan terpaksa menanggung kesan debu akibat daripada
bauksit yang tumpah di sekitar jalan raya. Kawasan sungai juga turut terkesan dan
mula mengalir kemerahan hingga membawa ke persisiran pantai. Pencemaran ini
menjejaskan kehidupan marin. Habuk merah daripada lombong bauksit akan menutup
liang pernafasan akuatik yang akhirnya akan menyebabkan kehidupan marin lemas
dan kemudian mati. Persoalan yang timbul di sini adalah bagaimanakah sebenarnya strategi perlombongan bauksit ini? Di manakah pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap permasalahan ini? Adakah suara-suara penduduk tempatan tidak diendahkan? Di manakah hak-hak penduduk di situ? Persoalan-persoalan ini yang sering menjadi igauan penduduk tempatan dan adakah persoalan ini mampu menyelesaikan segalanya?
Mari kita lihat apakah punca sebenarnya perkara sebegini berlaku. Punca utama yang berlaku adalah kerana pelombong
bauksit di Kuantan tidak mengikut dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh
Kerajaan Malaysia. Oleh sebab itulah kesan pencemaran bauksit di Kuantan
terlalu ketara.
Maka, apakah yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab tentang perkara ini? Di sini, saya sertakan serba sedikit langkah-langkah
yang telah dibuat untuk mengurangkan kesan bauksit ini. Setelah beberapa
laporan dan pembongkaran yang dibuat dari pihak NGO dan rakyat Kuantan sendiri terhadap
masalah ini, akhirnya kerajaan mengambil tindakan untuk menutup 34 lesen
melombong yang sebelum ini diberikan dan sekarang ini hanya tinggal 11 sahaja
pelombong yang dibenarkan beroperasi. Selain itu, kerajaan juga mengambil
tindakan dengan hanya menetapkan satu jalan sahaja yang boleh dilalui oleh
pelombong untuk menghantar hasil bauksit iaitu Jalan Gebeng-Bypass. Seterusnya,
pelombong bauksit di Bukit Goh akan dikenakan waktu khas untuk mengeluarkan bauksit
bagi membolehkan penduduk selamat daripada ancaman kesihatan dan kemalangan. Lori
mengangkut bahan mineral itu juga perlu mengikut standard yang ditetapkan
termasuk menutup muatan dan badan lori. Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi
Mohamed Shah akan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa supaya
masalah ini tidak berlaku. Di harap masalah yang berlaku ini akan mula bersurut
ekoran daripada langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa. Maka terjawab sudah persoalan yang timbul tadi. Segelintir pihak hanya menunding jari tetapi tidak menyelidik dengan sedalamnya dan cuba untuk memahami situasi kedua-dua belah pihak. Jadi, sekiranya terdapat kesalahan input-input di blog ini, mohon jasa baik untuk memperbetulkan di ruangan komen di bawah. Semoga berjumpa lagi di ruangan seterusnya. Zai jian!
No comments:
Post a Comment