Saturday, 23 April 2016

Berdosakah insan yang bergelar bayi?


Di Malaysia, isu yang sering terngiang-ngiang di telinga rakyat Malaysia adalah isu pembuangan bayi. Isu ini tidak pernah jumpa jalan penyelesaiannya. Isu ini boleh selesai hanya apabila seseorang itu mempunyai kesedaran moral yang tinggi. 

Pada hari ini iaitu 23 April 2016, Berita Harian melaporkan bahawa kes pembuangan bayi berlaku di Puchong. Seorang bayi perempuan berusia sebulan ditemui dalam beg plastik di hadapan sebuah rumah pangsapuri di Bandar Puteri 3, Puchong, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah, berkata bayi terbabit ditemui oleh seorang lelaki pada jam 11.57 malam, yang mendengar tangisannya. "


Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.


Persoalan di sini, mengapakah bayi yang tidak berdosa diperlakukan sebegini? Apakah yang menjadi kesalahan bayi ini sehingga dibuang dan tidak dijaga seperti mana ibu bapa kita menjaga kita sewaktu kecil? Isu di Puchong ini berkaitan dengan bayi yang berumur sebulan. Akan tetapi, terdapat juga bayi yang dibuang selepas sahaja dilahirkan sehingga ada bayi yang dibuang masih lagi tidak dipotong tali pusatnya. Di manakah keperihatinan orang yang membuang bayi tersebut? 

Sebelum ini, isu yang pernah hangat diperkatakan adalah pembuangan bayi di tong sampah sehingga mendapat perhatian daripada seluruh rakyat Malaysia. Sebuah keluarga yang berhati mulia telah mengambil bayi tersebut untuk dibela dan dijaga sebaiknya sehingga sekarang menjadi seorang kanak-kanak yang sangat comel. Di sini, apakah perasaan ibu kepada bayi tersebut? Di manakah naluri beliau sebagai seorang ibu? Tidakkah tersentuh sedikit hati beliau apabila ada orang lain yang sanggup mengambil anaknya daripada tong sampah, tempat bayi tersebut dibuang.

Kebanyakan yang kita dengar adalah isu pembuangan bayi ini disebabkan oleh keterlanjuran remaja-remaja yang akhirnya boleh memakan diri sendiri apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atas perlakuannya itu sama ada perlakuan itu secara sukarela daripada kedua-dua belah pihak ataupun secara paksa. Apabila didapati perempuan itu mengandung, menjadi satu masalah untuk merayu kepada si lelaki untuk bertanggungjawab. Si perempuan beruntung sekiranya si lelaki mahu bertanggungjawab atas perlakuan mereka dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan gejala ini. Akan tetapi, ramai lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab dan menyuruh si perempuan menggugurkan sahaja kandungan itu ataupun membuang sahaja bayi tersebut. Di sini, saya tidak menyatakan bahawa semua ini adalah berpunca daripada lelaki tetapi ini adalah kesedaran bersama yang harus dipupuk dalam diri bahawa gejala sosial yang mencalarkan imej diri sendiri haruslah ditolak tepi. 

Dengan gejala sosial seperti ini membuatkan bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang dan tidak memberinya peluang untuk hidup dan mengenal siapa ibu bapa mereka. Bayi-bayi ibarat kain putih yang tidak mempunyai sebarang dosa telah pun dianiaya dan tidak dijaga dengan sempurna. 

Justeru, hindarilah diri daripada terlibat dengan gejala-gejala sosial seperti ini dan pupuklah nilai moral yang tinggi dalam diri kita supaya kita bersih daripada isu-isu seperti ini. Jagalah maruah kita sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Sekian sahaja daripada saya mengenai isu ini. Semoga berjumpa lagi di ruangan yang berikutnya. Zai jian!

No comments:

Post a Comment