Semalam (Jumaat, 22 April 2016) adalah sambutan Hari Bumi, dengan temanya 'Pokok Untuk Bumi'. Negara kita sebenarnya sudah mengorak langkah proaktif dengan melaksanakan tindakan untuk menanam pokok melalui kerjasama rakan strategik di seluruh negara. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang bernaung di bawahnya seperti Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar bersama-sama guru, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan menyasarkan penanaman pokok sebanyak 80 juta menjelang 2020 di seluruh negara.
Kini terdapat satu pengiktirafan yang sedang berkembang bahawa alam semula jadi atau kehijauan ini memberikan manfaat cukup besar terutamanya terhadap penduduk bandar dan memainkan peranan penting dalam perancangan bandar yang sihat dan berdaya huni. Kesihatan adalah salah satu angkubah dalam bandar yang berdaya huni yang akhirnya membawa kepada bandar lestari sifatnya.
Penduduk dunia pada hari ini berjumlah melebihi tujuh bilion orang, tetapi separuh daripadanya tinggal di bandar besar dan kecil. Pertambahan penduduk ini membawa bersama-samanya kesan terhadap perubahan iklim yang semakin menyukarkan yang perlu disesuaikan oleh penduduk di seluruh dunia termasuklah di negara kita ini. Pertambahan penduduk bandar di Malaysia yang berjumlah lebih 22 juta, terbabit dalam perubahan ini. Justeru, pada masa ini adalah masa sesuai untuk melakukan perubahan menuju kecekapan dan membawa bersama-samanya menuju ke satu tahap pembandaran yang tinggi dan lestari sifatnya. Kepelbagaian fungsi dan manfaat pokok dan hutan bandar dapat dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu integriti ekologi; teater sosial, budaya dan nilai sejarah; keampuhan ekonomi; pembangunan prasarana minda yang membentuk nilai estetika dan arkitektur; dan fizikal serta pengikliman.
Inisiatif kesihatan awam
Prasarana hijau dibangunkan yang membabitkan semua prasarana semula jadi, separa semula jadi, jaringan sistem ekologi pelbagai fungsi yang terdapat di dalam, di sekeliling atau di antara kawasan bandar. Tumpuan utama prasarana hijau ini ialah berpotensi untuk mengintegrasikan pembangunan bandar, pengekalan alam sekitar dan inisiatif kesihatan awam yang dibina di kawasan bandar untuk rekreasi, mampu mengendalikan aktiviti membabitkan kesihatan secara tidak formal, secara tidak langsung membentuk integriti ekologi kawasan berkenaan.
Sebagai contohnya ialah kawasan rekreasi hutan bandar yang memberi peluang untuk warganya beriadah dan berinteraksi dalam kalangan mereka. Hutan dan kawasan hijau juga bertindak sebagai teater sosial dengan kombinasi pokok yang ditanam dan tasik semula jadi atau buatan misalnya dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan secara berterusan. Di sini juga masyarakat berinteraksi dengan penuh rasa kegembiraan di samping menghirup udara segar yang datangnya daripada pokok yang ditanam tersusun rapi.
Antara yang paling terkesan terhadap kehidupan harian manusia terutamanya yang tinggal di bandar adalah peningkatan suhu kesan daripada fenomena El-Nino yang sedang melanda kebanyakan negara di dunia termasuklah Malaysia. Kesan peningkatan suhu ini telah menimbulkan keresahan berterusan terhadap manusia. Hasil kajian menunjukkan bahawa suhu akan berkurangan di kawasan yang diliputi pokok atau kawasan berhutan. Pengurangan jumlah suhu ini memberi kesan ketara terhadap penduduk yang berada di sekitarnya.
Marilah kita bersama-sama menjaga hutan simpan kita dan elakkan diri daripada terlibat dengan gejala-gejala pembalakkan haram. Dunia sedang tenat dan ini adalah tanggungjawab kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini untuk memelihara alam semula jadi agar kita semua mendapat manfaat yang berterusan. Hashtag sayangi Malaysia ;) Zai jian!
Marilah kita bersama-sama menjaga hutan simpan kita dan elakkan diri daripada terlibat dengan gejala-gejala pembalakkan haram. Dunia sedang tenat dan ini adalah tanggungjawab kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini untuk memelihara alam semula jadi agar kita semua mendapat manfaat yang berterusan. Hashtag sayangi Malaysia ;) Zai jian!
No comments:
Post a Comment