Saturday, 23 April 2016

Handphone meletup apabila tekan butang jawab


Artikel dipetik daripada Harian Metro, 23 April 2016.

Yan: Pemandu bot cedera di muka kanan, telinga, dada dan tangan kanan apabila telefon bimbit sedang dicaj meletup dalam kejadian di Kampung Titi Serong, Yan.

Kejadian ketika Muhammad Syawal Md Isa, 27, menjawab panggilan telefon yang diletakkan di atas meja, kira-kira 3 pagi hari ini.

Ketika itu, dia sedang tidur bersama anak perempuan berusia tiga tahun, tetapi bangun untuk menjawab telefon seorang diri.

Muhammad Syawal berkata, tiba-tiba telefon bimbit di tangannya meletup dengan kuat ketika menekan butang menjawab sebelum berasa mata, muka dan tangan kanannya terlalu sakit.

"Saya kemudian berlari ke rumah ibu saudara yang terletak bersebelahan bagi meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Yan bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu kenyataan mengesahkan lelaki cedera di muka kanan, telinga kanan, dada sebelah kanan dan tangan kanan menerima rawatan di Hospital Yan.

Menurutnya, lelaki itu kemudian dirujuk ke HSAH sebelum dimasukkan ke Wad Oftalmologi (mata) untuk rawatan pakar.

"Pemeriksaan pakar oftalmologi mendapati terdapat kecederaan pada telinga kanan dan permukaan kulit yang terbakar dengan serpihan besi di bahagian kanan muka, dada dan tangan kanan.

"Selain itu, mangsa turut luka pada kornea mata kanan dan terdapat serpihan bendasing dalam mata selain samping pendarahan pada telinga kanan.

"Lelaki itu dijangka dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, bagi mendapat pemeriksaan lanjut oleh Pakar Oftalmologi pengkhususan bahagian kornea," katanya.




Apa yang saya boleh ambil untuk jadikan iktibar berdasarkan kejadian ini adalah suatu peringatan kepada saya dan juga kepada sesiapa sahaja yang menggunakan telefon bimbit agar lebih berhati-hati kerana malang tidak berbau. Ramai di antara kita suka mengecaj telefon bimbitnya semasa tidur dan hanya mematikan plug tersebut sesudah kita bangun daripada tidur. Ini boleh mengakibatkan bateri telefon bimbit menjadi panas dan akhirnya boleh mengakibatkan bateri kembung dan rosak. Punca sebenar daripada kes ini tidaklah saya mengetahui degan terperinci tetapi cukuplah kita membuka mata untuk lebih berhati-hati menggunakan media elektronik ini.

Ada juga di antara kita yang suka mengecaj telefon sambil mendengar lagu menggunakan earphone. Ini sebenarnya tidak elok kerana kita tidak tahu arus yang sedang mengalir ke dalam telefon bimbit tersebut. Lebih membimbangkan lagi apabila seseorang itu tertidur dengan keadaan seperti ini. Telefon bimbit juga boleh meletup pada bila-bila masa tanpa kita sedar. 

Ada satu kejadian yang telah berlaku di mana seseorang itu menjawab panggilan telefon menggunakan earphone sambil mengecaj telefon dan akhirnya telefon meletup ketika dia sedang asyik berborak. Ini boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk pada bahagian telinga seseorang itu. 

Oleh itu, sentiasalah berwaspada dalam melakukan apa sahaja terutamanya yang berkaitan dengan arus elektrik. Jagalah aset berharga kita iaitu seluruh tubuh badan kita yang dipinjamkan oleh Allah dengan sebaiknya. Sentiasalah berpegang kepada slogan "mencegah lebih baik daripada merawat" . Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan-Nya. Amin......... 


No comments:

Post a Comment