*gambar hiasan
Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah, Baginda yakin dengan kekemasan struktur masyarakat baru Islam, dengan tertegaknya kesatuan akidah, politik dan sistem di kalangan umat Islam. Baginda mengalih pandangan untuk menyusun hubungannya dengan golongan “bukan Islam” yang bertujuan untuk mewujudkan keamanan, kesejahteraan, kemuliaan dan kebaikan kepada manusia sejagat, di samping menyusun semula daerah al-Madinah dalam satu keharmonian hidup yang tulin. Baginda menggariskan peraturan-peraturan yang bersifat anjal dan toleransi yang belum pernah dinikmati oleh dunia yang penuh dengan sikap kefanatikan dan ego.
Golongan bukan Islam yang mendampingi Madinah ketika itu ialah golongan Yahudi, meskipun mereka memendam perasaan benci terhadap Islam, namun setakat ini mereka belum lagi memperlihatkan sebarang penentangan atau permusuhan. Justeru, Rasulullah memeteraikan perjanjian dengan memberi kemerdekaan penuh dalam soal agama dan kewangan kepada mereka. Rasulullah langsung tidak mengambil tindakan politik untuk bermusuh, menghalau atau merampas harta-harta mereka. Perjanjian yang dimeteraikan itu adalah di antara kandungan perjanjian antara kaum muslimin dengan kaum Yahudi.
Antara butiran Perjanjian:
1. Janganlah kaum Yahudi membenci kaum Muslimin dan sebaiknya janganlah kaum Muslimin membenci mereka.
2. Hendaklah kaum Yahudi dan kaum Muslimin hidup bersama-sama sebagai satu bangsa.
3. Maka hendaklah mereka sama-sama tolong menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai piagam ini.
4. Maka hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, saling membuat kebajikan dan bukan dosa.
5. Pertolongan hendaklah diberikan kepada orang yang dizalimi.
6. Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah bersepakat dengan orang-orang mukmin selama mana mereka tidak berada dalam keadaan perang.
7. Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sepenuhnya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini.
8. Bahawa jikalau kota Madinah di serang oleh musuh dari luar maka kaum Yahudi dan kaum Muslimin harus mempertahankannya bersama-sama.
Demikianlah singkatnya surat perjanjian Nabi Muhammad S.A.W. dengan kaum Yahudi. Kemudian pada bahagian terakhir perjanjian itu Nabi menyatakan: ''Bahawa jika di antara kaum Yahudi dan kaum Muslimin timbul perselisihan, maka Nabi Muhammad S.A.W. yang akan menjadi hakim untuk perkara itu.''
Dengan termeterainya perjanjian ini maka Madinah dan persekitarannya menjadi sebuah negara yang aman dan damai. Ibu negerinya adalah al-Madinah, pemimpinnya adalah Rasulullah (S.A.W.), kata-kata pemutus dan kekuasaan yang tertinggi adalah kaum muslimin. Dengan itu, maka al-Madinah menjadi sebuah ibu negara Islam. Dan untuk memperluaskan daerah keamanan dan kesejahteraan ini di masa hadapan, maka Rasulullah mengadakan perjanjian dengan qabilah-qabilah yang lain berdasarkan keadaan dan suasana.
Nota kaki: Sekiranya terdapat kesalahan input di blog ini, anda dialu-alukan untuk meninggalkan komen anda supaya kita sama-sama memahami dan belajar dengan lebih mendalam lagi tentang perkara ini. Terima kasih dan semoga berjumpa di ruangan berikutnya! Zai jian! :)
No comments:
Post a Comment