Friday, 1 April 2016

Larangan Wanita Bertudung Melanggar Hak Asasi Wanita Islam


Laporan Berita Harian bertarikh 1 Julai 2013 mendedahkan bahawa sesetengah syarikat didakwa telah mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam dengan meletakkan syarat yang memerlukan mereka membuka tudung dan memakai skirt sekiranya wanita tersebut ingin bekerja di syarikat tersebut. Wanita ISMA atau nama sebenarnya Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia menegaskan bahawa perkara dan situasi ini tidak wajar berlaku di negara ini yang merupakan agama Islam sebagai agama rasmi.





Wanita ISMA menegaskan bahawa sikap sesetengah majikan ini menggambarkan ketidakperihatinan mereka terhadap dasar perlembangaan negara ini iaitu dengan cara:



i.   Tidak menghormati hak asasi umat Islam dengan mengamalkan diskriminasi agama dalam isu ini. Majikan tidak wajar menghalang seseorang daripada mempraktikan tuntutan agamanya iaitu bertudung dan menutup aurat kerana ia merupakan tuntutan agama yang wajib diamalkan oleh wanita Islam. Apatah lagi dalam perlembagaan jelas menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai hak menyatakan dan mengamalkan agama masing-masing.
ii.   Tidak menjaga sensitiviti umat Islam. Majikan seolah-olah tidak mengambil kira apakah tuntutan agama ke atas penganutnya yang perlu mereka ketahui demi menjaga perpaduan bangsa dan agama serta nilai-nilai budaya yang wajar dihormati.
iii.  Tidak menghormati agama Islam sebagai agama persekutuan. Majikan seharusnya menghormati, menerima serta mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini. Amat tidak wajar majikan meletakkan syarat yang jelas bertentangan dengan agama Islam sebagai agama persekutuan.
Tindakan sesetengah syarikat dan majikan dapat ditafsirkan sebagai mencabar Perlembagaan Negara ini. Malah, mereka juga tidak peka kepada nilai-nilai moral yang terkandung di dalam perlembagaan Negara ini. Nilai-nilai moral dan saling hormat-menghormati dalam mengamalkan budaya dan hak beragama adalah sesuatu yang perlu difahami bersama. Tindakan ini juga sebenarnya mencabar hak asasi wanita Islam yang memohon pekerja di syarikat terbabit dan terpaksa menolak pekerjaan tersebut hanya disebabkan syarat-syarat yang boleh dikatakan tidak masuk akal. 
Bertudung dan menutup aurat merupakan satu kewajipan wanita Islam untuk menjaga agama dan maruahnya. Satu kesilapan sekiranya majikan  merasakan bertudung ini akan mengurangkan produktiviti kerja mereka. Majikan harus sedar bahawa mereka juga bekerja dan mendapat permit serta keizinan kerana hak mereka sebagai rakyat di negara ini. Tidak wajar bagi mereka untuk meletakkan syarat membuka tudung dan memakai skirt untuk bekerja di tempat mereka kerana ia bertentangan dengan apa yang terkandung di dalam perlembagaan negara iaitu mengamalkan tuntutan agama masing-masing.
Wanita ISMA menyeru wanita Islam agar berpendirian tegas dalam memilih pekerjaan. Wanita Islam juga perlu berani membuat pengaduan kepada kesatuan pekerja sekiranya isu diskriminasi tentang larangan bertudung dan memakai skirt ini terus berlaku. Wanita Islam perlu yakin bahawa keberkatan hidup bertitik tolak daripada keredaan Allah SWT dan keredhaan ini adalah hasil daripada pelaksanaan hambanya terhadap tuntutan agama. Semoga kita sentiasa dilindungi di bawah naungan-Nya. Amin........

No comments:

Post a Comment